Rakyat Jelata

Friday, October 8, 2010

Magika raih 3 juta!!

Filem muzikal Magika hampir capai sasaran kutipan kasar RM4 juta

FILEM muzikal yang kali pertama diketengahkan oleh trio adik-beradik daripada KRU Studios, Magika menunjukkan angka kutipan kasar memberangsangkan sekalipun temanya mungkin masih baru di dalam industri filem tempatan.
Magika menggabungkan cerita fantasi dan nyanyian mula ditayangkan pada 23 September lalu. Ia dijangka mencatatkan kutipan kasar sebanyak RM3 juta hari ini selepas dua minggu ditayangkan.
Angka itu pastinya sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada produser filem ini yang juga Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studio, Norman Abdul Halim, tetapi paling utama ia berita menggembirakan kepada adiknya, Edry.

Edry yang kali pertama menjadi pengarah, mengakui betapa dia bersyukur kerana percubaan pertamanya untuk memperkenalkan genre baru dalam bentuk muzikal dapat diterima ramai.



“Ini menunjukkan peminat filem sentiasa inginkan sesuatu yang baru. Lebih membanggakan saya ialah ulasan dan pujian yang menghargai usaha KRU Studios untuk mengembangkan filem tempatan.

“Saya harap kejayaan Magika dapat membuka pintu kepada karyawan lain untuk menghasilkan seni muzikal. Malahan kami juga sudah ada perancangan untuk menerbitkan filem muzikal kedua pada awal tahun depan,” Sementara itu, Norman sendiri meletakkan sasaran yang realistik iaitu RM4 juta, satu jumlah yang dianggap tidak terlalu tinggi. Memang tidak dinafikan sukar untuk mencapai jumlah itu kerana penonton Melayu masih dalam mood hari raya. Tambahan pula selain sudah banyak berbelanja untuk persiapan Hari Raya, filem Magika juga ditayangkan pada hujung bulan iaitu ketika kebanyakan orang belum mendapat gaji.

Oleh itu, kejayaan mencapai angka RM3 juta melapangkan sedikit dada Norman. Dia masih menaruh keyakinan orang ramai akan terus memberi sokongan terhadap filem Magika.

Ketika dihubungi Hip, Norman berkata, lazimnya kutipan kasar setiap filem pada minggu kedua sering kali lebih rendah berbanding minggu pertama, tetapi Magika nampaknya tersimpang dari kebiasaan itu, malahan mencatatkan kutipan yang cukup membanggakan buat KRU Studio.

“Berdasarkan kutipan minggu kedua iaitu pada Jumaat, Sabtu, Ahad dan Isnin, Magika mengumpul kutipan lebih tinggi daripada minggu pertama. Keadaan ini adalah sesuatu yang luar biasa dan berbeza dengan trend filem terbitan KRU sebelum ini atau mungkin juga untuk filem terbitan syarikat lain.

“Selalunya jumlah kutipan minggu kedua lebih rendah berbanding dari minggu pertama tetapi perkara sebaliknya pula berlaku kepada Magika. Jika mendapat slot tayangan mencukupi, tidak mustahil jumlah kutipan Magika boleh mencecah RM3.5 juta. Angka yang dicatat setakat ini hanyalah tayangan menerusi 61 panggung di Malaysia dan tiga lagi di Brunei.

“Magika akan ditayangkan di Singapura pada November nanti. “Jadi kami menganggarkan sehingga Magika habis ditayangkan kelak, termasuk kutipan di Singapura, filem itu mampu berada dalam landasan RM4 juta yang kami sasarkan,” katanya.

Walaupun Magika hanya memungut sebanyak RM50,000 di Brunei, Norman menyasarkan angka itu juga akan bertambah sekali ganda apabila ia habis ditayangkan kelak. Biarpun tidak begitu besar, dia tetap berpuas hati kerana negara itu sendiri mempunyai jumlah penduduk yang kecil.

Katanya, Magika mendapat maklum balas yang cukup baik daripada penonton dan media massa, sesuatu yang dianggap jarang diterimanya kepada mana-mana filem terdahulu yang pernah dihasilkan oleh KRU Studios.

Ulasan positif itu menjadi pencetus semangat kepada KRU Studio untuk terus menghasilkan filem pada tema yang sama.

“Saya meluangkan masa beberapa kali ke pawagam untuk melihat maklum balas penonton. Ramai yang menggemari filem ini tetapi ada juga mereka yang tidak memahami konsep muzikal yang mengetengahkan 50 peratus lagi dan sebahagian lagi dialog.

Sama seperti filem Mamma Mia! The Movie dan High School Musical, filem Magika sebenarnya ditonton lebih daripada sekali oleh kebanyakan penonton dan keluarga.

“Filem ini nampaknya lebih menarik golongan keluarga berbanding remaja. Mungkin remaja lebih gemarkan filem berunsur seram, percintaan dan kegiatan sosial. Kami akan memperbaiki lagi hasil kerja kami selepas ini untuk menarik golongan remaja ke pawagam.

“Namun saya harus berterima kasih kepada teater muzikal yang pernah dipentaskan di Istana Budaya seperti Puteri Gunung Ledang, P Ramlee dan banyak lagi kerana disebabkan mereka, masyarakat di negara kita memahami apakah muzikal,” kata Norman.

Selain skrip, lagu serta jalan cerita kata Norman lagi, barisan pelakon yang diketengahkan dalam filem ini yang membantu memantapkan filem ini. Kebanyakan pelakon yang diketengahkan memiliki kemasyhuran. Justeru, mereka menjadi salah satu tarikan kepada penonton untuk ke panggung.


 credit to Berita Harian Online | Raih RM3 juta

copyright TM























No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

generasi pendidik millenium..

Daisypath Friendship tickers